[cerpen] - Alhamdulillah Cinta

  • 3

Bermulanya sebuah kisah pada tanggal 23 Julai 20xx. Sahabat karibku, Muhsin, selamat diijabkabulkan dengan seorang muslimat yang dipadankan oleh murabbiku dan zawjahnya – Ustaz Zikry dan Ustazah Murni.

“Barakallahu lakuma wabaraka ‘alaikuma wajama’a bainakuma filkhair. Semoga Allah memberkati untukmu dan berkat ke atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebajikan,” doaku kepada Muhsin sebaik akad nikah selesai.

“Jazakallahu khair, syeikh!” ucapnya lantas memelukku. Ternyata dia sungguh gembira pada hari itu. Almaklumlah, sudah bergelar suamilah katakan.

“Anta bila lagi nak menyusul ana? Cepat-cepatlah mendirikan rumah tangga,” bisiknya kepadaku dalam pelukan ukhuwah kami.

Aku tidak menjawab. Kubalas dengan senyuman sahaja. Ah, terlalu ramai yang menggalakkan aku agar segera bernikah! Tua sangatkah umurku? 23 tahun... muda lagi. Masih boleh enjoy.

Beberapa bulan selepas itu, Hamdani pula mendirikan rumah tangga. Dia juga sahabat karibku. Nampaknya tinggal aku seorang saja dalam anggota usrahku yang masih solo. Istilah yang kami gunakan ialah KIB – Kelab Ikhwah Bujang.

Doa Buat Pengantin Baru kulafazkan kepada Hamdani, sama seperti yang kuungkapkan kepada sahabat-sahabatku yang lain dalam perkahwinan mereka.

“Nafiz, bila pula giliran anta nak berkahwin? Ayuh, perkara yang baik perlu disegerakan! Bukankah Nabi bersabda bahawa sesiapa yang bernikah beerti dia telah menyempurnakan separuh daripada agama?”

Hadith Tentang Pernikahan
“Barangsiapa yang berkahwin, maka dia telah melindungi (menguasai) separuh daripada agamanya, kerana itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah untuk memelihara yang separuhnya lagi”. (HR. Al Hakim dan Ath-Thahawi)

Seperti biasa, aku hanya tersenyum. Bersetuju tidak, membantah pun tidak. Aku sebenarnya takut. Malah belum bersedia untuk menjengah ke alam rumah tangga.

“Nak tunggu kita rasa cukup bersedia untuk bernikah, sampai bila-bila pun kita tak sedia,” ujar Ustaz Zikry ketika aku meluahkan masalahku kepadanya. “Apa yang kita perlu persiapkan ialah keimanan dalam diri kita. InsyaALLAH, kalau kita sudah siap dengan bekalan iman di dada, kita boleh memimpin keluarga di jalan yang diredhaiNYA.”

Aku berfikir dalam-dalam. Kemudian, aku membuat kata putus setelah aku berselawat tiga kali dalam hati. “Akhi, insyaALLAH ana mohon akhi jadi orang tengah ana. Carikanlah pasangan yang akhi kira cocok buat diri ana yang hina ini.”

“Alhamdulillah! Ana terima lamaran anta untuk menjadi pasangan hidup anta,” jawab Ustaz Zikry.

“Erk?!”

Dia ketawa kecil melihat responku. “Ana gurau sajalah. Ana nak katakan bahawa ana menerima lamaran anta untuk menjadikan ana sebagai orang tengah,” jelasnya sambil menepuk-nepuk bahuku. “InsyaALLAH ana cuba carikan zawjah solehah buat anta.”

“Jazakallahu khair, akhi.”

“Hmm... anta buat keputusan ni, anta tak rasa terpaksakan? Almaklumlah, semua orang asyik bertanya tentang status bujang anta. Ana risau anta buat keputusan ni kerana ingin senangkan hati orang lain. Risau pula kalau anta pula yang berduka hati.” Ustaz Zikry meminta kepastian dariku.

“Ini keputusan ana, akhi. Bukan kerana pujukan atau sebagainya,” jawabku ringkas.

“Anta banyakkanlah solat istikarah. Minta pendapat orang tua. Kemudian, hubungi ana kalau anta benar-benar sedia,” Ustaz Zikry masih merasakan bahawa keputusanku sebentar tadi ialah keputusan terburu-buru.

Mungkin benar katanya. Aku memerlukan beberapa waktu untuk memikirkan soal pernikahan ini. Dalam beberapa hari, kurujuk beberapa maklumat berkaitan tentang perkahwinan. Akhirnya aku menemui sebuah hadith yang kukira menjawab teka-tekiku.

Hadith Tentang Pernikahan 2
“Barangsiapa yang telah merasa sanggup (mampu) untuk berumahtangga, maka hendaklah ia bernikah. Sesungguhnya nikah itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang belum sanggup (mampu), hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat mengurangkan nafsu syahwat.” (HR. Bukhari)

Sepanjang bekerja di hangar (bengkel pesawat), aku mulai diserang penyakit debaran. Ustaz Zikry telah menjumpai muslimat yang sesuai buatku. Gambarnya telah dikirim, namun kutidak mahu melihat gambar tersebut kerana khuatir fikiranku terganggu. Kualaskan keyakinan kepada ALLAH SWT bahawa orang tengah yang soleh pasti akan menjumpai muslimah solehah buatku. Aku terima dia seadanya kerana apa yang kumahukan ialah Islamnya.



Majlis walimahku berlangsung secara bersederhana. Kali ini aku pula yang menerima ucapan doa pengantin daripada kawan-kawanku. Usikan-usikan mereka tidak dapat kuelakkan. Aku belum lagi berkesempatan untuk mendekati zawjahku kerana sebaik ijab kabul selesai, disusuli doa kesyukuran, kami berdua terus melayan tetamu. Kami sebenarnya malu antara satu sama lain.

“Najwa Amani, abang suka nama tu. Indah disebut, secantik empunya nama,” pujiku pada malam pertama kami berdua. “Bisikan Rahsia Ketenanganku, maksud nama Aini sungguh mendamaikan.”

“Aini?” ulang zawjahku. Timbul cemburu dalam hatinya apabila aku menyebut nama lain. “Najwa sedar diri Najwa bagaimana. Najwa berbadan gempal, tidak secantik muslimat yang lain. Namun, Najwa juga seperti muslimat lain yang disarungi rasa cemburu.”

“Aini cemburu?” tanyaku sambil tersenyum.

“Siapa Aini?” zawjahku bertanya perlahan. Ada getaran sedih di peti suaranya.

“Aini itu gelaran khas abang buat sayang. Kerana sayang ialah ‘mata’ yang membuat abang berasa tenang. Mata yang membuat abang berasa semakin dekat dengan Maha Pencipta.”

“Aini itu... gelaran buat Najwa?” zawjahku mengukir senyumannya. Kembang hatinya apabila aku merungkai misteri di sebalik nama Aini, yakni Mataku.

“Gelaran daripada Pemburu Cinta Ilahi khusus buat zawjah yang membantu abang mencapai matlamat tersebut,” tambahku.

“Abang tidak menyesal kahwin dengan Aini?” zawjahku mulai membahasakan diri dengan nama barunya. Kukuis pipinya kerana bijak mengambil hatiku dengan penerimaan gelaran itu.

“Tiada perkara yang membuat abang menyesal mengahwini Aini.”

“Macam yang Aini cakap sebelum ni. Aini ni tiada potongan badan. Tidak layak untuk abang yang tampan. Aini cuma takut abang mencari pasangan lain selepas ini,” sekali lagi zawjahku memperkecilkan dirinya.

Kuraih tangan zawjahku dan kutekap di dadaku. Kutatap matanya biar getaran kasih kami melantun kuat. “Ada tiga perkara yang ingin abang sampaikan kepada Aini,” ujarku.

“Pertama, abang tak mahu Aini mengatakan bahawa Aini tidak cantik dan sebagainya. Aini tahu bukan, ALLAH berfirman dalam surah at-Tiin ayat keempat bahawa seindah-indah ciptaan adalah manusia. Oleh itu, kalau Aini mengatakan sesuatu yang memperkecilkan ciptaan ALLAH pada diri Aini, bermaksud Aini memperkecilkan kuasaNYA. Aini cintaku, kamulah wanita tercantik buat abang,” ketika kututurkan ayat itu, mutiara jernih mengalir di pipi zawjahku. "Seindah hiasan duniawi ialah wanita solehah," sambungku lagi.

“Kedua, abang kahwini Aini kerana Islam yang ada pada Aini. Abang tidak pandang yang lain. Bagi abang, jika indah Islam seseorang itu maka indahlah dirinya. Dan sangat beruntung bagi sesiapa yang memilikinya. Sesungguhnya abanglah orang yang paling beruntung sekali kerana dapat mengahwini seorang puteri yang menjaga agamanya,” kemudian ku titipkan sebuah hadith sebagai tazkirah buatnya.

Hadith Tentang Pernikahan 3
“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Mendapat keuntunganlah barang siapa yang menikahi perempuan kerana agamanya. Maka anda akan memperoleh keberkatan” (HR. Bukhari dan Muslim)

“Dan yang terakhir, abang ingin memberitahu Aini. Janganlah ditolak akan poligami. Kerana sesungguhnya sesiapa yang menolak poligami, maka dia sebenarnya menggalakkan penzinaan.” Aku berhenti seketika untuk melihat respon zawjahku. “Tetapi, bersyukurlah sayang kepada ALLAH kerana abang berniat untuk bernikah seorang sahaja. Hanya Aini seorang ‘Aini’ buat abang.”

“Demi dzat yang jiwaku dalam genggamanNYA, aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika hilang agama dalam dirimu, maka hilanglah cintaku kepadamu,” kata-kata Imam Nawawi kulafazkan, kudakap zawjahku penuh kasih.

Akan kujadikan dirinya berasa istimewa. Akan kuhapuskan segala rasa rendah diri yang bertakung dalam dirinya. Aku mahu dia menjadi sayap kiriku yang sentiasa menyokong perjuanganku. Berkatilah kami ya ALLAH. Redhailah percintaan kami!

Ibrah:
Duhai srikandi islami, jangan kau risaukan zahiriahmu. Kau tetap menjadi pilihan Perindu Ilahi, selagimana kau menjaga agamamu. Kupinta kepadamu, genggamlah cinta hakikimu seeratnya. Nescaya akan dilimpahiNYA dikau dengan insan assoleh.

Duhai pahlawan deeni, kahwini bidadari yang solehah. Angkatlah mereka sebagai pemilik cinta, selepas Dia dan pesuruhNYA. Jangan kau terpedaya dengan rupa, kerana hanya agama yang boleh membuatmu bahagia.

Duhai kalian berdua, sungguh bahagianya percintaan yang dibina. Namun jangan alpa, DIAlah selayaknya dicintai menjulang tinggi. PesuruNYAlah juga wajar lebih dicintai, berbanding pasangan kalian. Bercintalah kalian di bawah lembayung kasih dan rahmatNYA.

Alhamdulillah Cinta!

Datang Bulan? (Haid)


Assalamualaikum semua...
Ini ada sedikit info juga tentang haid yang saya kutip dari majalah 
Anis keluaran terbaru. Mungkin ada yang dah membacanya...  

Gadis biasanya menganggap kedatangan haid sebagai suatu yang merimaskan. Sebenarnya kita patut bersyukur kerana itu menandakan kita seorang yang sihat. darah haid adalah darah kotor yang perlu keluar pada setiap bulan. Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika haid:

1 Antara tanda kedatangan haid atau sesudahnya ialah ditumbuhi jerawat besar dimuka. Jangan diusik-usik atau dipicit jerawat tersebut apalagi dengan tangan yang kotor. Sapukan ubat jerawat bagi menghilangkan kesan parut.

2 Sebaiknya mandi dengan air suam bagi memulihkan kelesuan.

3 Elakkan membasuh rambut pada hari pertama kedatangan haid hingga hari keempat kedatangan haid. Ingat jadual bulanan haid. Sebaiknya basuh rambut sehari sebelum kedatangan haid. Jika terpaksa gunalah air suam. Cara ini dapat melancarkan perjalanan darah kotor disamping mengelakkan berlakunya keputihan. Kekerapan membasuh rambut pada hari pertama hingga keempat menyebabkan darah berhenti sebelum waktunya.

4. Hindarkan minuman bergas dan berais.

5.Kurangkan makan makanan yang berbau hanyir seperti ikan masin, udang dan sotong supaya darah tidak berbau hanyir. Pengambilan protein dari kekacang seperti air soya, tauhu atau tempe amat digalakkan.

6. Untuk penyucian dalaman, minumlah jus kunyit yang dicampur air asam jawa dan sedikit gula melaka. Air kunyit menyembuhkan bengkak dan menghindarkan bau hanyir. Asam jawa melancarkan darah. Sukatannya, tumbuk seketul ibu kunyit sebesar ibu jari kaki sendiri. Perah dan ambil patinya. Campurkan dengan sedikit air asam jawa, air suam dan gula melaka (sesedap rasa). Minum sekali sehari.

7.Cuci tuala wanita sampai bersih, bungkus dengan surat khabar lama untuk dibuang. Pakaian dalam yang kotor hendaklah segera dicuci, jangan dibiarkan berendam terlalu lama. Ia merupakan keaiban diri yang perlu dijaga.

8.Sepanjang tempoh ini banyakkan berzikir supaya hati sentiasa tenang, badan cergas dan dijauhkan dari segala gangguan yang tidak diingini. Amalkan doa:

Segala puji bagi Allah atas tiap-tiap kurnia dan nikmat dan aku meminta ampun kepada Allah daripada tiap-tiap doa...

Akulah Wanita Itu...

  • 0

Wahai kaum adam…
Kerana apa kau mencuri hati kaum hawa??
Kerana apa kau menyintai kaum hawa..??
Kerana apa kau menyayangi kaum hawa…??
Kerana apa kau menyunting kaum hawa…??

Wahai kaum adam…
Adakah kerana kau ingin lukakan hatinya..??
Adakah kerana kau ingin robekkan perasaannya..??
Adakah kerana kau ingin siatkan kasih sayangnya…??
Adakah kerana kau ingin menyeksa jiwa raganya…??

Wahai kaum adam…
Apa erti cinta pada diri kalian..??
Apa erti sayang pada kalian…??
Apa erti rindu pada kalian…??
Dan…apakah erti kesetiaan pada kalian…???


Wahai kaum adam…
Adakah cinta itu seperti mainan bagimu..??
Adakah sayang itu sekadar pelepas hausmu..??
Adakah rindu itu sekadar angin yang berlalu..??
Adakah setia itu sekadar puisi yang bisa kau padamkan..dan kau coretkan semula…
Jika kau memerlukannya…??



Wahai kaum adam..
Ketahuilah..kaum hawa itu kaum yang senang mengalir air matanya..
Ketahuilah..kaum hawa itu kaum yang jiwanya sangat setia..
Ketahuilah..kaum hawa itu kaum yang perasaannya amat halus..
Ketahuilah…kaum hawa itu kaum yang bisa memaafkan walau jiwanya hancur..
Dirobek, disiat oleh kalian...
Ketahuilah..kaum hawa itu kaum yang bisa melupakan segala keburukan kalian 
walau dia terpaksa menyeksa perasaannya…
Ketahuilah..kaum hawa itu kaum yang sanggup mengenepikan kepentingan dirinya 
hanya untuk diserahkan kepada kalian kaum adam…

Wahai kaum adam…
Sayangilah kaum hawa sepenuh jiwa kalian…
Lindungilah kaum hawa setulusnya cinta kalian…

Sesungguhnya…
Cintailah kaum hawa itu seteguhnya kerana Allah…
Kerana Dia pemilik segala Cinta. Dia lah Pencinta Sejati.

p/s : Ade org(kaum adam) tanya "kenapa kaum adam
dipersalahkan dalam soal-soal begini ea..?
bukankah segalanya kerana rendahnya iman umat nabi Muhammad SAW...?
mengejar cinta yang rapuh daripada manusia yang akan mati.....
salahkan diri sendiri.. bukan sesuatu kaum sahaja..
semuanya bersalah..semuanya bersalah..bertaubatlah..."
Maaf, saya rasa tak ada yang disalahkan kat post atas tu..
tapi lebih kepada persoalan. Bukan menyalahkan.
Cuba anda tukar pula pada kaum hawa, ya......?

Cuba yerk !
wassalam

Kuasa insan bergelar WANITA/HAWA

KUASA LAYANAN PEREMPUAN
* Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.

KUASA DOA PEREMPUAN
* Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya:"Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

KUASA TAQWA PEREMPUAN
* Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

* Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

* Kekuasaan taqwa ini pula adalah kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

* Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw: "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasannya).

Seorang Gadis Itu...


Seorang gadis itu...
Yang lembut fitrah tercipta, halus kulit, manis tuturnya, lentur hati ... telus wajahnya, setelus rasa membisik di jiwa, di matanya cahaya, dalamnya ada air, sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka, ceritera hidupnya ...

Seorang gadis itu ...
hatinya penuh manja, penuh cinta, sayang semuanya, cinta untuk diberi ... cinta untuk dirasa ...
namun manjanya bukan untuk semua, bukan lemah, atau kelemahan dunia ... ia bisa kuat, bisa jadi tabah, bisa ampuh menyokong, pahlawan-pahlawan dunia ... begitu unik tercipta, lembutnya bukan lemah, tabahnya tak perlu pada jasad yang gagah ...



Seorang gadis itu ...
teman yang setia, buat Adam dialah Hawa, tetap di sini ... dari indahnya jannah, hatta ke medan dunia, hingga kembali mengecap ni'matNya ...

Seorang gadis itu ...
bisa seteguh Khadijah, yang suci hatinya, tabah & tenang sikapnya, teman lah-Rasul, pengubat duka & laranya ... bijaksana ia, menyimpan ílmu, si teman bicara, dialah Áishah, penyeri taman Rasulullah, dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah ...


Seorang gadis itu ...
bisa setabah Maryam, meski dicaci meski dikeji, itu hanya cerca manusia, namun sucinya ALLah memuji ... seperti Fatimah kudusnya, meniti hidup seadanya, puteri Rasulullah ... kesayangan ayahanda, suaminya si panglima agama, di belakangnya dialah pelita, cahya penerang segenap rumahnya, ummi tersayang cucunda Baginda ... bisa dia segagah Nailah, dengan dua tangan tegar melindung khalifah, meski akhirnya bermandi darah, meski akhirnya khalifah rebah, syaheed menyahut panggilan Allah.



Seorang gadis itu ...
perlu ada yang membela, agar ia terdidik jiwa, agar ia terpelihara ... dengan kenal Rabbnya, dengan cinta Rasulnya ... dengan yakin Deennya, dengan teguh áqidahnya, dengan utuh cinta yang terutama, Allah jua RasulNya, dalam ketaatan penuh setia . pemelihara maruah dirinya, agama, keluarga & ummahnya ...

Seorang gadis itu ...
melenturnya perlu kasih sayang, membentuknya perlu kebijaksanaan, kesabaran dan kemaafan, keyakinan & penghargaan, tanpa jemu & tanpa bosan, memimpin tangan, menunjuk jalan ...


Seorang gadis itu ...
yang hidup di alaf ini, gadis akhir zaman, era hidup perlu berdikari ... dirinya terancam dek fitnah, sucinya perlu tabah, cintanya tak boleh berubah, tak bisa terpadam dek helah, dek keliru fikir jiwanya, kerna dihambur ucapkata nista, hanya kerana dunia memperdaya ... kerna seorang gadis itu, yang hidup di zaman ini ... perlu teguh kakinya, mantap iman mengunci jiwanya, dari lemah & kalah, dalam pertarungan yang lama ... dari rebah & salah, dalam perjalanan mengenali Tuhannya, dalam perjuangan menggapai cinta, ni'mat hakiki seorang hamba, dari Tuhan yang menciptakan, dari Tuhan yang mengurniakan, seorang gadis itu ... anugerah istimewa kepada dunia!


Seorang gadis itu ...
tinggallah di dunia, sebagai ábidah, dahípayah & mujahidah, pejuang ummah ... anak ummi & ayah, muslimah yang solehah ... kelak jadi ibu, membentuk anak-anak ummah, rumahnya taman ilmu, taman budi & ma'rifatullah ...

Seorang gadis itu ...
moga akan pulang, dalam cinta & dalam sayang, redha dalam keredhaan, Tuhan yang menentukan ... seorang gadis itu dalam kebahagiaan! Moga lah-Rahman melindungi, merahmati dan merestui, perjalanan seorang gadis itu ... menuju cintaNYA yang ABADI

Untukmu Adam dan Hawa


Adam…
Kau bilang dirimu hebat dan kuat ibarat pahlawan,
Gagah perkasa seperti Badang,
Kau gunakan Hawa sebagai umpan,
Untuk membuktikan kelelakianmu yang hanya temberang.

Hawa…
Kau bangga dengan kecantikan lahiriah yang ada padamu,
Kau sanjung tinggi Adam yang terpikat dengan keindahan rupamu,
Kau tersenyum manis saat Adam melihat lenggok tubuhmu,
Tapi kau marah dan benci bila ada segelintir Adam yang menegurmu.

Adam…
Kadangkala kekacakan yang ada padamu,
Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,
Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,
Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati.

Hawa…
Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,
Kau harus ambil kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,
Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam,
Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.

Adam…
Kata-kata manis nistamu bisa menggoda hati Hawa,
Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,
Lembutmu dalam berkata membuatkan Hawa senang mendekatimu,
Sikap prihatinmu membuat Hawa tergilakan perhatianmu.

Hawa…
Sikapmu yang tidak endah menjadikan Adam berani terhadapmu,
Berani mengambil kesempatan untuk menyentuh maruahmu,
Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu,
Hingga kau pun hanyut dalam dunia cinta palsu.

Adam…
Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,
Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,
Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsumu,
Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.



Hawa…
Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,
Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,
Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi,
Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.

Oleh itu Adam…
Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,
Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,
Kau harus teruskan perjuanganmu menentang hawa nafsumu,
Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.

Adam…
Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani,
Supaya Hawa takut untuk menggoda dan mendekati,
Supaya syaitan tidak membisikkan godaan nafsu durjana,
Agar kau bisa menjadi pemimpin dan ketua yang diidami Hawa.

Begitu juga Hawa…
Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,
Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,
Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci,
Agar kau suci terpelihara saat Adam menyuntingmu.

Hawa…
Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,
Namun…itu bukanlah yang Adam harapkan,
Adam mengharapkan Hawa yang berpegang teguh pada agama sebagai penyuci kalbu,
Adam juga menginginkan Hawa yang sopan dan memelihara aurat dalam berpakaian.













DAN












Untukmu Adam :

Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam agama yang bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan dan nafsu yang boleh membinasakan. Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa. Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara maruah diri untuk orang tercinta yang sah bergelar isteri. Jadilah juga Adam yang boleh menjadi ketua keluarga, imam dalam solat berjemaah dan pemimpin agama seperti yang diingini oleh Hawa.


Untukmu Hawa :
Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak terpuji dan baik hati. Jadilah Hawa yang menjaga aurat dan maruah diri dari sewenang-wenangnya dilihat ajnabi. Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk seorang yang sah bergelar suami. Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri yang solehah serta hamba Allah yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidamkan oleh Adam.

Renungkanlah HAWA


Hawa,
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian dimata adam, kita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini bila rahmat islam menyelubungi alam bila sinar islam berkembang, darjat kita diangkat ,maruah kita terpelihara, kita dihargai dan di pandang mulia, dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia ini melainkan wanita solehah.

Wahai Hawa,
Kenapa engkau tak menghargai nikmat iman dan islam itu? Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya, kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya? Wahai Hawa,Tangan yang mengoncang buaian bisa mengoncang dunia, sedarlah hawa kau bisa mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah, kau bisa mengegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan islam di mata dunia. Tapi hawa jangan sesekali kau cuba mengoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu.

Jangan Hawa ,
jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali mengoda lelaki yang bukan suamimu, kerna aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Tetapi memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang di eksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau seorang ibu didiklah anakmu sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu, ingatlah hawa janji tuhan kita , wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan mengadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuan..takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya ,serta kemampuannya mengoncang iman mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut menberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu ,jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu, biarlah hanya cinta kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu.

Hawa,
Cintailah Allah dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta dari insane yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga. Hawa ,Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang mengoncang buaian ini bisa mengoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi. Jangan sesekali tangan ini juga yang mengoncang keimanan kaum Adam, kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.



Buat kaum Hawa


Ketahuilah anda adalah tamsilan kepada keindahan, namun begitu anda jua adalah tamsilan kepada kerosakan & kemusnahan. Perempuan, Akal Setipis Rambutnya...

Tuhan menjadikan wanita untuk menghiasi bumi ini. Tanpa wanita dunia ini terasa sempit & tidak seronok untuk didiami. kaum lelaki akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam A.S. pernah dilanda gelisah meskipun hidup dipenuhi kenikmatan di syurga. Lalu baginda memohon kepada tuhan agar dijadikan seorang teman agar boleh dia berbicara, bergurau senda & membina sahsiahnya. makan terciptalah Siti Hawa dari tulang rusuk kiri Nabi Adam A. S. & segala kenikmatan syurga disekeliling terasa wujud...

Tanpa wanita siapakah lelaki yang mahu digelar pemimpin.
Tanpa perempuan siapakah lelaki yang digelar ayah...
Seorang wanita terutama yang bergelar isteri cukup mudah untuk memasuki syurga tetapi seorang wanita juga amat mudah dilemparkan ke neraka . segalanya bergantung kepada agamanya..
Tanpa isteri siapalah lelaki yang digelar suami
Tanpa Permaisuri siapakah lelaki yang digelar raja...

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.
wallahu a'alam...

[cerpen] - Tidak Ingin Kau Pergi


Sedih. Aku tidak tahu mengapa. Tetapi suasana kelam itu mengundang rasa sedih di dalam hatiku. Kulihat Ariff menangis teresak-esak. Fawwaz dan Munsyi duduk menunduk wajah yang sugul. Di sekeliling mereka bertiga, kebanyakan rakan-rakanku di Jordan ini turut hadir. Semuanya mempunyai gaya masing-masing. Namun gaya mereka semua bersatu atas satu perkataan. Sedih.

Tiba-tiba aku rasa takut.

Seakan-akan suasana itu meragut jiwaku.

“Semoga ALLAH rahmati arwah” Presiden MPPM Jordan, Abang Dzulkarnain berkata dalam keadaan matanya yang kemerahan.

Arwah?

Ada orang meninggal kah?

Tiba-tiba aku nampak wajah Toriq, sahabat karibku. Wajahnya pucat lesu. Kenapa? Dia kaku sahaja tanpa suara. Matanya terpejam.

Adakah….

****

Aku memandang wajah Toriq. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang kelihatan dalam mimpiku. Wajahnya kini hidup, ceria, penuh cahaya. Wajah yang aku tidak pernah rasa sugul bila memandangnya. Namun hari ini, keresahan aku tidak hilang dengan memandang wajah bersih itu. Malah, semakin bertambah gelisah.

“Ni kenapa gaya nak makan orang? Dah tranformasi jadi Godzilla?” Toriq tersenyum-senyum.

“Jalan pandang depan la” Aku memuncungkan bibir ke hadapan, ke arah jalan raya. Kami kini sedang berada di hadapan sebuah pasaraya, yang bertentangan dengan pintu gerbang universiti kami. Antara pasaraya dengan pintu gerbang universiti, ada jalan raya yang besar untuk kami lintasi.

Senior-senior sentiasa berpesan agar kami berhati-hati kerana orang arab biasanya memandu dengan laju. Kadangkala, kita tidak dapat menjangka bagaimana mereka memandu. Aku yang pernah naik teksi dan coaster di Jordan ini, memang rasa macam nak tercabut jantung dengan cara pemanduan mereka. Menggerunkan.

“Uih, garangnya. Ni boleh jadi Godzilla sungguh ni” Toriq terus melangkah.

Tiba-tiba mataku menangkap sebuah kereta yang bergerak dalam keadaan laju.

Pantas wajah pucat Toriq dalam mimpiku menjengah. Kata-kata Abang Dzulkarnain mengetuk kepala.

Arwah…

“Toriq!” Aku terus mencapai lengannya, menarik Toriq ke belakang semula. Kereta tadi terus bergerak membelah jalan raya.

“Kau nak mati ke? Jalan tak pandang kiri kanan?” Aku meninggi suara. Dapat kurasa wajahku tegang. Dada berdegup kencang. Bukan marah, tapi…

Toriq angkat kening. “Kau ni kenapa? Siapa tak nampak kereta tadi? Aku bukan nak melintas jalan raya. Aku baru je nak melangkah nak berdiri tepi jalan raya. Macam tak biasa pulak.”

Aku diam. Tadi, dia bukan nak melintas ke?

“Kau ni, sayang aku terlebih ni” Toriq ketawa kecil.

Muka aku merah. Aku terasa macam aku ini orang bodoh pula.

“Aku risau” Aku menjawab tanpa memandang wajah Toriq. Jalan raya sedang dipenuhi kenderaan yang lalu lalang. Kami masih belum ada peluang untuk melintas.

“Risau? Terharu seh” Toriq memaut bahuku dengan lengannya. Dia masih ketawa.

Aku diam sahaja. Mana aku tak risau? Aku mimpi kau mati!

Tidak lama kemudian, kami mendapat peluang melintas jalan. Toriq melangkah dahulu. Aku pantas bergerak agar langkah kami seiring. Pantas tangan kananku memegang tangan Toriq, memimpinnya seperti memimpin anak kecil melintas jalan.

Sampai sahaja di pintu gerbang Univeristi Yarmouk, aku perasan Toriq memandangku. Tapi aku senyap sahaja. Beberapa orang di tepi jalan tersenyum-senyum memandang kami. Memang, nampak pelik kalau lelaki berpimpin tangan dengan lelaki.

“Kau tak sihat?” Suara Toriq agar kerisauan dengarnya.

Aku melepaskan tangannya semasa melepasi pintu gerbang. Geleng kepala.

Aku perlu bagitahu kah mimpi aku?

“Kalau kau ada masalah, bagitahu aku”

Toriq, memang sahabat yang baik. Sahabat aku yang terbaik. Tapi sekarang, bukan aku yang bermasalah. Masalahnya adalah kau, Toriq. Aku rasa macam kau akan ditarik pergi. Aku tidak mahu kau pergi!

“Tiada apa-apa”

Toriq tersenyum semula. Wajah cerianya kembali bercahaya. “Kau tengah angau dengan sesiapa ke?” Tangannya mencuit pinggangku.

“Banyak la kau”

****

Orang kata, kalau ada manusia nak dekat mati, biasanya dia akan ada tanda-tandanya. Tapi, selalunya tanda itu tidak akan kita perasan, melainkan selepas dia mati. Contoh yang biasa didengari adalah seperti ajak makan makanan kegemaran tapi dia makan tak habis. Contoh lain yang biasa aku dengar, arwah akan sering berkata berkenaan mati sebelum kematiannya.

“Agak-agak, umur kita ni berapa panjang lagi?”

Hampir tersembur air yang sedang kuteguk. Terkejut. Aku membesarkan mata, memandang Toriq.

“Mati-mati jangan sebut lah” Aku menegur.

Toriq tersengih. “Kenapa pulak? Mati tu bila-bila. Apa salahnya ingat mati. Mati selalu ingat kita”

Aku menghela nafas. Betul. Malah, mengingati mati adalah antara pencuci kekaratan di dalam hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Hati itu akan berkarat seperti karatnya besi” Sahabat-sahabat pun bertanya bagaimana untuk membersihkannya. Rasulullah SAW menjawab: “Membaca Al-Quran dan mengingati mati”

“Tak ada la, hilang keindahan pagi ni” Aku memberikan alasan. Kemudian memandang mentari pagi yang redup di sebalik awan.

Sekarang Subuh pukul 3.40 pagi. Malam sudah menjadi pendek kerana musim panas. Antara hobi aku dan Toriq masa musim panas ini adalah duduk di atas sutuh dan berehat sambil memerhatikan mentari naik. Kami akan membaca Al-Quran dan kemudiannya bersarapan bersama-sama.

“Kalau aku mati, macam mana agaknya kau?” Soalan itu, mengundang pusingan pantas dari kepalaku.

Pantas aku meluku kepalanya.

“Aduh, kenapa?” Toriq menggosok-gosok kepalanya. Memandang aku dengan kehairanan.

“Degil ya. Kan aku dah cakap jangan rosakkan mood pagi ni” Aku cuba bergaya selamba.

Toriq mencemikkan muka, kemudian terus menyambung sarapannya.

Suasana senyap sebentar. Aku terus menghabiskan air. Cawan kuletakkan. Toriq tekun dengan makanannya. Aku rasa bersalah pula.

“Kalau kau tak ada…” Perlahan-lahan aku bersuara.

Toriq mengangkat kepala. Mata kami bertentang. Suasana senyap kembali. Kemudian Toriq mengangkat kening, isyarat agar aku meneruskan kata-kata.

“Aku akan rasa amat amat amat sedih” Suaraku perlahan.

Perlahan-lahan senyuman Toriq terukir.

“Kenapa? Lawak ke?”

“Terharu seh”

“Banyak la kau punya terharu”

“Aku saje je nak tengok kau sayang aku tak” Toriq angkat kening dua kali. Kemudian dengan selamba meneruskan sarapan.

“Ceh” Buat aku risau aje. Aku memandang langit kembali. Semakin cerah. Baru pukul 6.00 pagi, sudah seperti pukul 8.00 pagi di Malaysia.

Adakah hidup akan sentiasa cerah seperti keadaan sekarang?

****

Hah!

Aku terbangun lagi. Mimpi itu datang lagi. Wajah teman-teman yang sugul, ada yang menangis, ucapan Abang Dzulkarnain dan berakhir dengan wajah Toriq yang terpejam kehilangan seri.

Aku beristighfar berulang kali. MasyaALLAH… Perasaan takut menyerang.

Tubuhku rasa hangat. Kusentuh dahi, terasa basah. Aku berpeluh.

Semakin lama, aku terasa seakan-akan mimpiku akan menjadi kenyataan.

Mimpi yang sama datang dan datang lagi.

Ya ALLAH…

Kulihat jam pada telefon bimbit. 2.45 pagi. Aku terus bangun dan menuju ke tandas. Gosok gigi, dan membasuh muka. Kemudiannya aku mengambil wudhu’. Aku hendak solat tahajjud.

Semalam, Toriq mengadu kepadaku bahawa dia sakit. Dia rasa lemah-lemah badan. Hidung pula sentiasa berdarah.

Aku amat risau. Aku telah membawanya berjumpa doktor pada waktu malam, tetapi doktor hanya berkata bahawa itu keadaan biasa apabila perubahan cuaca. Memang biasanya pada musim panas, badan akan terasa lebih lemah dan kadangkala untuk beberapa orang, darah akan keluar dari hidung.

Keterangan doktor tidak membuatkan aku lega. Mungkin aku juga akan menganggap ini biasa, kalau aku tidak didatangi mimpi aneh itu. Tapi, setelah berulang kali mimpi itu hadir, aku rasa teramat risau. Adakah pemergian Toriq memang tidak dapat dielakkan? Adakah mimpi aku itu, benar-benar satu kepastian?

Aku menangis dalam sujudku.

Ya ALLAH, sesungguhnya KAUlah yang menguasai nyawa, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu!

****

“Nama aku Toriq. Yoroshikuu” Dia menghulurkan tangan.

Yoro… shiku? Bahasa Jepun apabila memperkenalkan diri, atau meminta seseorang melakukan sesuatu.

“Pelajar JUST?” Nama universiti untuk pelajar perubatan dan pergigian di Irbid kusebut.

Semua orang disekelilingnya ketawa.

“Aku dah kata dah, kau ni tak ada rupa pelajar Yarmouk” Bahunya ditepuk kawan di sisi.

Dia ketawa juga. “Aku pelajar Yarmouk. Macam kau juga. Kita sama baya la. Cuma aku sampai sini seminggu awal”

Aku tersengih. Pandangan pertama aku, pelajar bernama Toriq ini adalah seorang yang suka lepak-lepak, gaya happy go lucky dan ada aura anak orang kaya.

Sekejap sahaja. Sudah dua tahun berlalu. Tanpa aku sangka, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak, gaya happy go lucky, dan ada aura anak orang kaya itu adalah sebenarnya jauh dari sangkaan aku. Gayanya memang ceria, tetapi Toriq adalah seorang yang serius pada tempatnya. Dia rupanya bukan anak orang kaya. Dia sederhana sahaja seperti aku. Tetapi dari segi pelajaran, Toriq jauh melebihi aku. Dia antara yang tergenius di dalam Universiti Yarmouk. Hatta pensyarah pun menyayangi dia.

Akhlaknya baik dan bersih. Tidak pernah menyakitkan hati orang. Malah Toriq yang mengajak aku untuk mengikuti usrah yang dijalankan oleh Iktilaf Islami, kumpulan persatuan ISLAM orang arab di Universiti Yarmouk.

Toriq Sentiasa berbahasa yang menyenangkan, dan semua orang di kawasan Irbid ini menyukainya. Dan semestinya, Toriq ramai peminat dari kalangan pelajar perempuan.

Dan tanpa aku sangka juga, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak itulah yang menjadi sahabat karib aku sepanjang berada di Jordan ini. Kami tinggal serumah dari tahun pertama dengan tiga orang pelajar JUST, iaitu Ariff, Fawwaz dan Munysi.

Malah, kami adalah pasangan setter dan spiker yang digeruni di Universiti. Aku spiker dan dia sebagai setter. Kami berdua suka juga buat video macam Anas Tahir dan Akbar, tapi tak adalah merapu sangat macam mereka. Kami buat video tazkirah. Antara projek dakwah aku dan Toriq.

Aku, memang amat sayang dengan Toriq.

Sayang kerana ALLAH. Ukhuwwahfillah. Toriq yang kenalkan aku dengan benda-benda tu. Dia yang kenalkan aku akan hakikat ISLAM, hakikat iman. Sedikit demi sedikit dia mencerahkan kefahaman aku berkenaan makna kehidupan. Hinggalah sampai satu tahap, dia mengajak aku mengikuti usrah untuk pemahaman yang lebih tersusun.

Walaupun aku adalah seorang pelajar sekolah agama sebelum berkenalan dengan Toriq lagi, tetapi selepas dia menunjukkan aku semua itu, baru aku nampak bahawa aku telah silap meletakkan agamaku. Selama ini, aku hanya nampak ISLAM ini sebagai agama sahaja. Aku nampak ISLAM ini pada pelajaran. Aku nampak ISLAM ini untuk aku lulus cemerlang dan mendapat kerja dalam kehidupan.

Tapi rupa-rupanya, ISLAM ini lebih daripada itu. Seluruh kehidupan itu sendiri sebenarnya perlu berada di dalam ISLAM. Hal ini kerana, ISLAM itu syumul, meliputi segala perkara. Semua itu aku fahami, hanya selepas aku mengenali Toriq. Perlahan-lahan, dialah yang memimpin aku.

Sebab itu, aku amat menyayanginya.

“Ni kenapa tengok aku macam aku dah nak mati je ni?” Toriq memandang kepadaku.

Aku tersedar dari lamunan panjang. Perkataan ‘mati’ membuatkan aku sedikit rasa tidak senang.

“Kau sakit, aku tengok-tengokkan la” Aku menjawab selamba.

Toriq tersenyum. “Kut la nak ubatkan”

“Aku bukan doktor lah”

“Da’ie, doktor pada ummah seh”

Kata-kata Toriq mengoyak sengihku. “Masalahnya, kalau bab sakit macam kau ni, da’ie tak boleh nak ubatkan. Doktor la kena bagi ubat”

Toriq menggeleng. “Da’ie, perlu beri harapan kepada pesakit macam aku ni, untuk menjalani ujian sakit itu dengan penuh keimanan”

Aku tersenyum. Ada-ada sahaja. Tak mahu kalah juga.

“Jadi, bersabarlah kau dengan ujian ni. Ini baru sakit sikit. Kemungkinan, ALLAH akan uji dengan benda yang lebih besar”

“Apa agaknya benda yang lebih besar tu?”

“Aku kahwin dengan orang yang kau suka”

Terkeluar tawa kami berdua.

“Berani la” Toriq menunjuk penumbuk.

“Joke man, joke”

Toriq mengangguk. Aku tahu, dia faham. Kami bukan sekali dua bergurau. Entah, sudah kali ke berapa ribu kami bercanda. Kadang-kadang, tanpa bersuara pun, aku seakan dapat menjangka perasaannya, dan dia pula seakan dapat menjangka keadaan aku.

“Aku rasa, aku dah hampir sihat dah ni” Toriq memegang dahinya.

“Kau rehat cukup, okaylah kut”

“Darah pun dah tak keluar dah sehari dua ni”

“Esok boleh pergi kuliah”

“Kau mesti sepi pergi kuliah sengsorang”

“Bajet macam aku ni jiwang plak”

“Ha ha…”

Senyap sebentar selepas itu. Tiga hari ini, aku la yang menjaganya. Ahli rumah lain agak sibuk kerana mereka pelajar perubatan. Pelajar agama di Yarmouk memang agak banyak masa lapang.

“Tapi, memang sepi pun tak ada kau”

“Ha… introducing, mamat jiwang Irbid, Rasyid!”

“Banyak la” Aku menolak Toriq. Kami ketawa lagi. Nampaknya, Toriq memang benar-benar sihat.

Aku rasa lega.

Mungkin, mimpi aku itu hanya mainan sahaja.

Mungkin, aku ini terlalu banyak fikir.

“Hei Toriq” Aku memandang Toriq. Mata kami bertemu.

“Em?” Keningnya terangkat sebelah. Gaya kebiasaan.

“Uhibbukafillah, jiddan jiddan” Aku cintakan kamu kerana ALLAH sangat-sangat.

Toriq senyap sebentar. Kemudian ketawa.

Aku hairan. Kenapa?

“Kau memang dah jadi mamat jiwang seh. Gaya macam nak tinggal aku jauh je”

Aku tersengih. Aku yang takut kau tinggal aku jauh. Aku yang tak mahu kau pergi jauh tinggalkan aku.

Kemudian tawa Toriq mengendur. Dia memandang aku.

“Uhibbukafillah kaman” Aku cintakan kamu kerana ALLAH juga.

Aku tersenyum.

Hati lapang.

****

Aku terbangun.

Aku tidak tahu sama ada aku patut tersenyum, atau terus bimbang.

Aku bermimpi mimpi yang sama. Tetapi, mimpiku bertambah. Semuanya sama, hingga ketika wajah pucat Toriq yang terpejam matanya. Namun, kali ini, sebelum berakhir, mata Toriq yang terpejam itu, terbuka, dengan mata yang bergenang.

Adakah ini tandanya, dia tidak akan mati?

Ataupun, adakah ini tandanya, Toriq hanya berada dalam kesedihan?

Aku tidak tahu.

Ya ALLAH, lapangkanlah kehidupan sahabatku Toriq, permudahkan segala urusannya, ampunkan segala dosa-dosanya….

Aku berdoa.

Semoga ALLAH pelihara sahabatku Toriq.

Sekurang-kurangnya, dalam diriku sekarang, ada perasaan bahawa, Toriq tidak akan pergi meninggalkan aku.

Tapi…

****

Kehidupanku seakan kembali seperti biasa. Berjalan ke Universiti Yarmouk bersama sahabat tercinta, Toriq.

Pagi tadi, selepas bersarapan, aku teringat akan ibuku. Aku bersembang lama juga. Sempat berkirim salam kepada semua keluarga. Agak lama juga tidak menghubungi mereka.

“Ni kenapa muka macam orang baru kahwin ni?”

Aku tersengih. Sebab aku senang hati. Aku dapat telefon ibuku pada pagi hari, dan sahabatku kembali sihat. Malah, aku dapat rasa bahawa kerisauanku macam beterbangan hilang. Mungkin selepas aku kembalikan bahawa, hidup dan mati itu susunan ALLAH.

Semalam, sebelum tidur, aku bermuhasabah.

Mungkin, kalau benar mimpi-mimpi aku selama ini benar adalah tanda bahawa Toriq akan ditarik pergi, maka aku pun tidak akan mampu menghalang kehendaknya. Mati itu adalah urusan-Nya. Kita tidak boleh mengelak, jauh sekali hendak melarikan diri. Cuma, tugas kita adalah hidup dengan nyawa yang masih ada, dan cuba menjaga diri sebaik mungkin.

Setiap yang bernyawa akan mati. Tiada keraguan akan hal itu. Maka tidak perlu dipertikaikan. Pokok persoalan sekarang adalah, bagaimana kita menjalani kehidupan.

Dikejutkan mimpi semalam, aku solat tahajjud, solat taubat dan melakukan solat hajat. Aku mendoakan agar aku termasuk dari kalangan yang beriman dan diberi rezeki untuk masuk syurga. Aku berharap agar, aku termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat redha ALLAH. Aku juga mendoakan semua ahli keluargaku, dan rakan-rakanku. Semestinya, aku tidak lupa mendoakan sahabatku Toriq.

“Weh, jawab la. Mimpi jumpa bidadari ke?” Toriq menolak bahuku.

Aku menggeleng. Aku mimpi kau hidup. “Mana ada apa-apa”

Aku terus berjalan. Toriq menepuk-nepuk belakang tubuhku. “Takpe…”

“Jangan ambil hati seh” Aku meniru ‘seh’ yang selalu diucapkannya.

“Aku ambil jantung je seh” Toriq membalas canda.

Kami ketawa.

Kami sampai di tepi jalan raya.

“Tak sibuk seh pagi ni”

Aku mengangguk. Walaupun ada kenderaan lalu lalang, tapi tidak sesibuk seperti biasa.

Toriq terus melintas. Aku mengikuti dari belakang.

Poooooooooonnnnn!!!!

Aku menoleh. Sebuah coaster bergerak laju ke arah kami. Mataku membesar. Spontan aku menolak Toriq dengan kuat. Sahabatku itu terkeluar dari jalan raya.

Jarak coaster denganku tidak lebih dari sedepa.

Ketika ini, keadaan sekeliling aku seakan menjadi perlahan. Aku sendiri jadi pelik. Aku sempat memandang Toriq yang hendak membuka mulut untuk mejerit.

Aku sempat pula teringat akan mimpiku.

Tangisan ahli rumah, kesugulan kenalan-kenalan di Jordan, kata-kata Abang Dzulkarnain, kemudian wajah pucat Toriq dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan mata bergenang.

Patutlah…

Aku tersenyum.

“Oh, rupanya bukan Toriq. Tetapi aku…”

Alhamdulillah. ALLAH Maha Besar. Ternyata ilmu berkenaan kematian ini tidak tersampai pada insan untuk menjangkanya.

BAM!

Seluruh alam macam berputar berulang kali.

Dan yang terakhir aku dengar adalah suara jeritan Toriq yang panjang, sebelum segalanya menjadi gelap, dan senyap.

ALLAH… Aku naik saksi bahawa tiada ILAH selainMU, dan Muhammad itu adalah RasulMU.

Toriq…

Aku yang pergi dahulu.

Aduhai Puteriku


Aduhai Puteriku,

Di luar sana rakanmu cntik dgn hiasan yg indah,

Tetapi tdk bg mu,

Ini tidak bermakna dirimu tidak cntik,

Malahan keayuanmu di hijab dr pandangan liar...


Aduhai Puteriku,

Di luar sana rakanmu riang berhibur dan berlagu,

Tetapi tdk bg mu,

Ini tidak bermakna hatimu tidak terhibur,

Malahan hatimu terhibur oleh alunan wahyu yg Esa...


Aduhai Puteriku,

Di luar sana rakanmu sedang asyik berpasangan di buai cinta,

Tetapi tdk bg mu,

Ini tidak bermakna dirimu tiada cinta,

Malahan cintamu adalah cinta hakiki kpd Allah dan RosulNya...


Malumu umpama perisai yang ampuh dari serangan noda,

Taatmu umpama tali temali pengikat kasih persaudaraan,

Jagalah dirimu wahai puteri sholehah,

Semoga di kau beroleh kemenangan dan kejayaan dunia akhirat...


p/s : Aku x thu la ni syair ke..sajak ke...ape ke..yg pnting ia amt bermakna...sbb ustazah aku yg bg kt aku bnde ni disaat aku hmpir kalah dgn dugaan yg terpaksa ku tmpuh dan ku lalui dlm hidup ini...nme ustazah tu Shafiyyah Bawazir...dy dah x ngajar aku...kenangan ni...thnx tzah..bnde ni dah wt semangat Izzah kembli pulih saat mmbacanya~...terima kasih Ustazah Shafiyyah....

Adam... Mengertilah...


Adam,mengertilah...
Hawa bukanlah insan yg kuat..
bukan juga insan yg bisa menahan nafsu..
tatkala diri diuji, Hawa sering tewas...
tewas dgn godaan syaitan & nafsu sendiri..

Adam,mengertilah...
sungguh, Hawa telah cuba melakukan yg terbaik..
agar diri ini tidak menjadi fitnah dunia...
telah Hawa cuba menjaga diri ini sebaik-baiknya..
Hawa sedaya upaya menjauhkan diri dari tabarruj..
perfume, make up, perhiasan...
telah Hawa elakkan sejauh-jauhnya..
namun mengapa masih Adam tertarik pd Hawa
yg serba kekurangan ini..

Adam,mengertilah...
Hawa ini berjiwa lembut...
sukar untuk Hawa menolak bila Adam meminta...
Hawa tau permintaan Adam
tak mungkin membawa Hawa ke kancah maksiat...
namun, Hawa lemah...
Hawa takut zina hati...

Adam,mengertilah...
setiap kali 'sms' diterima..
Hawa keliru...
ingin sekali Hawa membiarkan sahaja..
tapi Hawa akur tuntutan sahabat...
Hawa tewas...
Hawa reply juga...
mengenangkan Adam adalah sahabat....

Adam,mengertilah...
setiap layanan yg Hawa beri hanya sekadar membantu..
mungkin Hawa adalah antara kasih sayang Allah yg dikurniakan buat Adam..
memudahkan perjalanan hidup Adam..
jgn disalah tafsir apa yg Hawa berikan..

Adam,mengertilah...
Hawa mengharapkan Adam menjaga Hawa..
namun,bukanlah 'couple' yg Hawa pinta...
tp cukuplah sekadar tidak memandang Hawa..
cukuplah sekadar menghormati Hawa sebagai Hawa..
jgn dipinta apa yg tak mampu Hawa berikan..
kerana Hawa milik Allah sepenuhnya...

Adam,mengertilah...